Popiah Daging Berkeju

Ramuan / Bahan

Inti Popiah:

250 g daging cincang (boleh tambah atau kurangkan mengikut citarasa, juga boleh digantik dengan ayam)
Sebatang lobak merah
15 batang kacang buncis
Sepaket soh-hoon
2 sudu sos tiram
Sedikit garam
Sesudu rempah kari
5 biji Bawang Merah dan 5 Biji Bawang Putih

Lain-lain:

Kulit popiah saiz sederhana,
Sebungkus keju Cheddar,
Minyak untuk menumis,

Cara-cara

Persediaan bahan:

Soh-hoon direndam hingga lembut,

Kisar atau tumbuk lumat bawang putih dan merah,

Potong halus atau guna parut tangan untuk memarut lobak merah, supaya mendapat hasil yang tidak terlalu kasar dan tidak terlalu halus. Begitu juga dengan kacang buncis.

Keju dipotong 4, secara memanjang. (Potong mengikut kadar keperluan)

Bancuh Rempah kari tadi dengan sedikit air. Pastikan bancuhan pekat dan tidak cair.

Memasak Inti:

Tumis bawang yang telah ditumbuk/kisar tadi dalam kuantiti minyak yang sesuai, sehingga naik bau wangi.(supaya hasilnya tidak terlalu berminyak)

Masukkan bancuhan kari tadi, dan tumis rata sehingga terbit minyak,

Masukkan pula daging cincang,

Selepas daging empuk, masukkan sos tiram dan sedikit garam, gaul rata,

Masukkan lobak dan diikuti dengan kacang buncis. (pastikan ia sudah diparut atau dipotong halus)

Gaul rata, dan akhir sekali masukkan soh-hoon yang telah ditoskan dan dipotong2 supaya tidak terlalu panjang.

Gaul sehingga semua bahan cukup rata dan masak,

Sejukkan sebelum mula menggulung popiah.

Menggulung popiah:

Sediakan kulit popiah,

Letakkan sepotong keju di atas kulit popiah sebelum meletakkan inti,

Selepas itu bubuh inti di atas keju tersebut mengikut kuantiti yang bersesuaian atau ikut citarasa.

Gulung. Pastikan gulungan rapat dan ketat untuk mengelakkan terlalu banyak minyak meresap ke dalam popiah ketika menggoreng.

Menggoreng:

Pastikan minyak cukup panas ketika hendak mula menggoreng. Ini untuk mengelakkan minyak meresap.

Gorenglah hingga keperangan.

pastikan popiah ditos betul2, dengan memastikan hujung popiah ke bawah untuk memastikan minyak keluar.

Sendengkan dalam pinggan yang dialas dengan tisu, untuk memastikan minyak menyerap ke tisu.