Dedokok

Ramuan / Bahan

300 gm tepung pulut
1 biji kelapa, diperah untuk dapatkan 1 cawan santan pekat dan 1 cawan santan cair
3 helai daun pandan, ditumbuk atau dikisar. Diperah bersama air untuk dijadikan ½ cawan air pandan
Air dan daun pisang secukupnya Bahan-bahan inti:
½ biji kelapa muda diparut
1 keping gula kabung
2 helai daun pandan
Sedikit air

Cara-cara

Untuk menyediakan inti, cairkan gula kabung bersama sedikit air dengan memanaskannya di atas api. Masukkan kelapa serta daun pandan dan gaul hingga rata. Kacau di atas api yang perlahan hingga inti menjadi kering. Angkat dan sejukkan. Ambil satu sudu kecil inti, gentelkan di atas daun pisang dan bentukkan memanjang anggaran sebesar jari kelingking kira-kira 5 cm panjang. Ketepikan. Untuk menyediakan dedokok pula, daun pisang dilayurkan dan dipotong. Masukkan santan pekat ke dalam periuk dan jerang selama 2 minit di atas api yang sederhana. Bancuh tepung pulut dengan santan cair dan air daun pandan. Gaul hingga sebati. Ambil satu sudu besar adunan tepung, leperkan di atas daun pisang. Letakkan inti kelapa di tengahnya, percikkan sedikit santan yang telah dimasak dan gulungkan. Ulangi proses ini sehingga kesemua bahan habis. Masukkan ke dalam periuk kukus dan kukus hingga masak.