Roti Sambal Ikan

Ramuan / Bahan

Bahan untuk roti:
¾ kg tepung gandum
¼ tin susu cair
½ camca teh margerin
½ camca teh minyak sapi
Sedikit garam
Minyak masak
Air untuk menguli Bahan untuk sambal ikan:
5-7 ekor ikan selar/kembung(direbus dan ambil isinya)
2 cawan santan
5 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 biji bawang besar(dipotong dadu)
1 biji cili besar(di mayang)
1 cm halia (dimayang halus)
Sedikit halba
Sedikit garam dan gula

Cara-cara

Cara membuat roti:

Campurkan tepung gandum, susu cair, margerin, minyak sapi dan garam. Kemudian uli dengan air hingga sebati, masukkan sedikit minyak ke dalam doh supaya adunan roti tidak melekat pada tangan.Uli lagi selama 15 minit. Bulat-bulatkan doh dengan menggunakan minyak dan biarkan semalaman (seperti cara membuat roti canai).

Cara membuat sambal ikan:

Campurkan isi ikan yang telah direbus,santan, bawang merah dan bawang putih serta kisarkan. Panaskan kuali dan masukkan bahan-bahan yang telah dikisar. Kacau sekali-sekala dan biarkan sehingga agak kering serta masukkan bawang besar, cili besar, halia dan halba. Kacau lagi hingga masak.

Akhir sekali, canaikan doh roti dan masukkan sambal ikan serta lipat segiempat. Goreng roti di atas api yang sederhana sehingga kekuning-kuningan.